Friday, July 25, 2008

BERKATA BAIK

BERKATA BAIK TANDA ORANG BERIMAN

Dalam ceramah atau syarahan di khalayak, pelbagai isu telah
dikemukakan kepada orang ramai.Hujahan berbentuk retorik telah
dilontarkan untuk menarik perhatian audien. Isu-isu sensitif dan
panas menjadi bahan dan tajuk ceramah. Pelbagai wacana telah
dihamburkan untuk menyedapkan halwa telinga.Si pendengar dan
penonton setia akan menyambut dengan gema sorakan dan laungan
takbir,apatalahlagi jika isu itu dikatakan "jejak angin"dengan
mereka.
Semuanya mengharapkan pendengar mempercayai atau menyakini isu yang
diperkatakan. Apa yang mendukacitakan timbul isu mengumpat, mengutuk,dan
memaki pihak lawan yang menjadi menyedap halwa telinga. Akhirnya,
perkara-perkara yang ditegah oleh agama menjadi kebiasaan.
Apabila kita bertelagah ,masing-masing cuba menegakkan
kebenaran,mari kita meneliti dan merenung beberapa ayat Al-Quran
dan hadis yang menjadi panduan orang-orang beriman. Pegangan
Al-Quran dan Sunnah yang sungguh-sungguh –kamu tidak akan sesat
buat selama-lamanya(maksud hadis).

"Wahai-wahai orang-orang yang beriman,taatlah kamu kepada Allah dan
taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada Ulil-amri (orang-orang yang
berkuasa) dari kalangan kamu.Kemudian jika kamu
berbantah-bantah(berselisihan) dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu
mengembalikannya kepada Allah(Al-Quran) dan (Sunnah) Rasul-Nya-jika kamu
benar-benar beriman kepada Allah dan hari akhirat.Yang demikian itu adalah
lebih baik(bagi kamu) dan lebih elok pula kesudahannya."An-Nisa:59

"Wahai orang-orang yang beriman,janganlah sesuatu puak (dari kaum
lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang
lain,(kerana) harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada
mereka, janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan
merendah-rendahkan puak perempuan yang lain.(kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka: dan janganlah sesetengah
kamu menyatakan keaiban sesetengah yang lain:dan janganlah pula
kamu memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang
buruk (larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang
melakukannya menjadi fasik) maka,amatlah buruknya sebutan nama
fasik(kepada seseorang)sesudah dia beriman.Dan ingatlah sesiapa yang
tidak bertaubat(daripada perbuatan fasiknya)maka merekalah orang
–orang yang zalim."Al-Hujurat:11

Dalam ayat ini , Allah menjelaskan seseorang menjadi fasik dan zalim jika
memperlekeh ,menghina, mendedahkan keaiban dan mulut celupar ke atas puak
atau orang lain.

Allah melarang orang-orang yang suka mencerca walaupun ke atas
orang-orang musyrik sekalipun apatah lagi ke atas orang Islam yang
lain.

"Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain
daripada Allah, kerana mereka akan mencerca Allah secara melampaui batas
dengan ketiadaan pengetahuan.Demikianlah Kami memperelokkan pada
pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada
Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka
apa yang mereka telah lakukan."Al-An'aam:108

Usahkan maki hamun,mengumpat,mencari kesalahan orang-menyangka
buruk pun Allah melarangnya. Sesiapa yang mengetahui hakikat
kejadian manusia,dan benar-benar mengenali zat Allah tentulah dia
tidak tergamak untuk menyangka buruk kepada sesama manusia apatah
lagi saudara seagama.Sebenarnya manusia ialah sebaik-baik kejadian
sebagaimana dijelaskan dalam Al-Quran.

"Wahai orang-orang beriman!Jauhilah kebanyakan dari menyangka buruk kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu
mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang: dan janganlah
sesetengah kamu mengumpat sesetengah yang lain.Adakah seseorang daripada
kamu suka makan daging saudaranya yang telah mati?(Jika demikian keadaan
mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya.(Oleh itu, patuhilah
larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah:
sesungguhnya Allah penerima taubat lagi Maha Mengasihi. Al-Hujurat:12

Walaupun ada pendapat yang membenarkan mengumpat,cuma dalam
keadaan darurat seperti untuk mencari jodoh, maklum kepada pihak
polis, dan di mahkamah. Keadaan yang diharuskan mengumpat hanya
kepada pihak-pihak berwajib, ada akautabili,yang didaftarkan
secara sah mengikut undang-undang.,bukannya "ditelanjangi"
keaiban orang atau dijaja merata-rata di pentas khalayak, dalam
blog internet, dan ICT agar semua dunia mengetahui "tanpa seurat
benang" perihal si pulan bin si pulan.

"Dan janganlah engkau(berkisar dari pendirianmu yang benar, dan jangan)
menurut kemahuan orang yang selalu bersumpah, lagi yang hina(pendapatnya
dan amalannya), yang suka mencaci, lagi yang suka menyebarkan fitnah
hasutan(untuk memecahbelahkan orang ramai) Yang sangat menghalangi
amalan-amalan kebajikan, yang melanggar hukum-hukum ugama, lagi yang
sangat berdosa." Al-Qalam:10-12

"Katakanlah; Wahai Ahli Kitab! Jangan kamu melampau-lampau dalam agama
kamu dengan cara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu
suatu kamu yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak
manusia, dan juga(sekarang) mereka telah tersesat(jauh) dari jalan yang
betul"
Al-Maidah:77
Yang menjadi masalah orang-orang melakukan salah laku ini orang
yang pandai dalam ilmu agama. Sesetengah pihak bukan calang-calang
orang yang bergelar ulamak dan tuan guru.Apabila mereka
menggunakan hujah kononnya nas Al-Quran, hadis, kitab-kitab
tertentu, maka sudah tentu orang akan percaya, apa tah kepada
pengikut yang jahil dan hanya menjadi pak turut dalam agama.

Kefahaman inilah perlu dinilai,dikaji,dan dihayati oleh ahli
masyarakat,janganlah menjadi pengikut yang membabi buta. Mereka
menerima sahaja didikan,hukum-hukum berdasarkan -pendapat
pendita-pendita(ulamak,Tok Guru) yang tidak berasal dari
agama.Sebagaimana disebut oleh Allah, yang bermaksud,

"Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai
pendidik-pendidik selain daripada Allah dan juga(mereka
mempertuhankan) Al-Masih ibni Maryam, padahal mereka tidak
diperintahkan melainkan untuk menyembah Tuhan Yang Maha Esa:tiada
Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia. Maha Suci Allah dari apa
yang mereka sekutukan. AtTaubah:31

Marilah sama-sama kita menghayati apa yang dijelaskan oleh
Al-Quran-mukjizat yang agung,
Kitab yang hidup hingga akhir zaman.Kita boleh mengambil banyak pengajaran
daripadanya. Ramai pengkaji Al-Quran apabila Allah mendedahkan bagaimana
sikap angkuh, ingkar dan buruk Firaun dan kuncu-kuncunya, kita merasakan
kemurkaan Allah kepada Firaun semata-mata dan tidak berkaitan dengan kita.
Tetapi, kita lupa sifat-sifat Firaun yang sombong kerana banyak ilmu,
angkuh, degil, tidak mempercayai kebenaran sebenarnya terdapat dalam diri
kita.
Sebenarnya, jika kita benar-benar orang beriman kepada Allah,
semakin banyak ilmu di dada semakin tunduk, tawaduk, dan rendah
diri kita kepada orang lain,ibarat resmi padi semakin berisi
semakin tunduk.
Sebaliknya orang-orang yang beriman kepada syaitan, semakin banyak ilmu
semakin bongkak, takbur,dan sombong. Dia merasakan dia seorang sahaja yang
cerdik atau alim, orang lain semua bodoh atau jahil belaka .


'Dan janganlah engkau memalingkan mukamu(kerana memandang
rendah)kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan
berlagak sombong ,sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap
orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri." Luqman:18

Sabda Nabi s.a.w, "Tahukah kamu apa erti muflis? Jawab para
sahabat, muflis menurut kami ialah orang yang tidak mempunyai wang
dan tidak mempunyai harta. Sabda Rasulullah s.a.w, Muflis daripada
umatku akan datang kelak pada hari kiamat membawa solat, puasa, dan
zakat; dan membawa dosa kerana dia pernah memaki orang, dia pernah
menuduh-nuduh orang, dia pernah memakan harta orang, dia pernah
membunuh orang dan dia pernah memukul orang, maka pahala
kebaikannya diberikan kepada orang-orang yang dizaliminya. Jika
pahala kebaikannya habis sebelum terbayar lunas kepada orangg-orang
dizaliminya, maka dosa-dosa mereka yang dizaliminya lalu ditimpakan
kepadanya, kemudian dia dilemparkan ke neraka."( Riwayat Sahih
Muslim)

Jadi, berhati-hatilah agar kita tidak menjadi muflis pada hari
akhirat nanti.Sayang sekali ya, beramal kebaikan di dunia
bertimbun-timbun pahala, tetapi kerana kita ada kepentingan
tertentu bila di akhirat nanti semua menjadi ibarat
fatamorgana-sia-sia segala amalan.

"Dan janganlah kamu jadikan pesanan-pesanan dan perintah Allah sebagai
modal untuk mendapat keuntungan dunia yang sedikit: sesungguhnya apa yang
ada di sisi Allah (dari balasan yang baik)itulah sahaja yang lebih baik
bagi kamu, kalaulah kamu mengetahui."An-Nahli:95


"Dan katakanlah(Wahai Muhammad) kepada hamba-hambaku(yang beriman) supaya
mereka berkata-kata yang amat baik(kepada orang-orang yang menentang
kebenaran): sesungguhnya Syaitan itu sentiasa menghasut antara mereka(
yang mukmin dan yang menentang): sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh
yang amat nyata bagi manusia." Al-Isra':53

Ayat ini, Allah menyuruh orang-orang beriman supaya sentiasa menggunakan
kata-kata yang baik dan lemah-lembut orang-orang lain, sama ada mereka
orang kafir, musuh atau sesiapa sahaja. Hal ini demikian kerana kata-kata
kasar dan menyinggung itu akan menimbulkan permusuhan sesama manusia.
Tambahan pula, Syaitan sentiasa menghasut dan menyalakan api permusuhan.
Oleh itu, kenal pasti musuh yang sebenar yang amat berbahaya itu.

"Janganlah kamu menjadi seperti golongan orang musyrik,iaitu orang –orang
yang menjadikan fahaman agama mereka berselisihan mengikut kecenderungan
masing-masing serta mereka pula menjadi berpuak-puak, tiap-tiap puak
bergembira dengan apa yang ada padanya(dari fahaman dan amalan yang
terpesong itu)" Ar-Rum:32

Jadi, sebagai saudara seagama marilah kita mencari titik-titik
persamaan ,bukannya mencari jalan yang mengakibatkan kita
berpecah-belah. "Dan berpegang teguhlah kamu sekalian dengan
tali Allah(agama Islam) dan janganlah kamu berpecah-belah dan
kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu
bermusuh-musuhan,lalu Allah menyatukan di antara hati kamu,maka
menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang-orang Islam yang
bersaudara" Ali-Imran:103.
Sebenarnya, tangan-tangan ngaib sedang memerhati supaya kita
bertelagah sasama sendiri. Yang menang ialah musuh-musuh yang
cemburu melihat keadaan negara Malaysia yang aman,stabil, dan
harmoni walaupun terdiri daripada negara berbilang kaum.
Inilah kehebatan negara yang tidak ada pada negara lain.
Lupakah kita melihat keadaan negara-negara Islam yang lain,
seperti Palestin,Iraq, Afghanistan, dan Pakistan. Nama
sahaja negara Islam, tetapi pemimpin-pemimpin mereka
mengikut telunjuk kuasa-kuasa asing.Mereka bertelagah sesama
sendiri. Rakyatnya, saudara seagama sanggup berbunuhan
sesama sendiri.Yang bergembira dengan keadaan itu ialah
musuh-musuh kita..Negara hancur, ekonomi lumpuh,rakyat hidup
melarat dan menjadi pelarian.Untuk membina negara mengambil
masa ratusan tahun,tetapi untuk memusnahkannya hanya sekelip
mata. Marilah sama-sama kita menghayati ajaran Al-Quran dan
assunah jika benar-benar kita orang-orang yang beriman.


SAHIFUL BAHARI ABD RAHMAN
PDIM,TUMPAT,KELANTAN.

Wednesday, July 2, 2008

Maklumat Persatuan

Maklumat Persatuan sila masukkan dalam blog ini.